Selalu kita dengar cerita-cerita orang diganggu oleh bunyi-bunyian aneh yang dilakukan oleh makluk-makhluk ghaib. Cerita rumah lama bunyi macam ada orang tapi sebenarnya takdelah… cerita dengar bunyi tapak kaki tapi takde oranglah… bunyi orang ghaib nyanyi karaokelah… macam-macam!
Dari aku kecik aku pun selalu dimomokkan dengan cerita-cerita macam ni especially dari majalah misteri (dan kini jadi majalah sembang gebang) – Mastika. Tapi, aku tak pernah pula sangka aku berpeluang melalui pengalaman yang sama. Peristiwa ni takdelah seram mana pasal ia berlaku pada waktu siang tapi kalau difikir-fikirkan balik, meremang juga bulu roma. Cerita berlaku pada tahun 2001 kalau tak silap aku.
Masa tu aku sekolah rendah lagi darjah 5 Harapan di sebuah sekolah kampung di Johor. Hari tu hari Sabtu, ada kokurikulum. Selepas ko-k tamat, aku kena stay kat kafe pasal ada tusyen B.M dengan seorang cikgu. Memandangkan murid yang datang tusyen tu pun tak ramai (dalam lebih kurang 6 orang), makanya pembelajaran hari tu pun dibuat di kafe sekolah. Turut serta 2 orang member aku yang menyebok stay kat kafe lepas ko-k tu pasal tak nak balik rumah lagi. Jam masa tu dah lebih kurang 1p.m. Cikgu pun bagilah kitorang satu latihan objektif dan tinggalkan kitorang sekejap untuk ke bilik guru. Masing-masing pun tekunlah buat dan kawan aku 2 orang yang tak terlibat dengan tusyen ni tadi sibuk menimbang bola takraw kat kafe tu juga.
So, lepas habis je latihan tu aku buat; aku pun joinlah diorang sekali sementara menunggu cikgu datang. Kitorang rentangkan bangku kafe sebagai net konon-kononnya. Budak perempuan yang lain pun dah siap kerja agaknya dan berborak sesama sendiri.
Sedang asyik masing-masing dengan hal masing-masing, tiba-tiba kami semua terhenti dan terdiam disebabkan kedengaran satu bunyi yang sangat kuat. SREEETTT~~~ bunyi seperti sesuatu benda besi yang amat berat diseret. Pada mulanya kami buat tak endah lah. Kemudian berbunyi lagi, kali ni lebih panjang dari tadi macam semakin jauh jaraknya. Masing-masing terdiam dan berpandangan sesama sendiri. Kami mula bertanya sesama sendiri tentang bunyi tersebut dan dari arah mana dia datang.
Kemudian, bunyi tu datang lagi. Panjang dan merenggiut. Bunyi besi berlaga lantai. Kami simpulkan yang itu bunyi tong gas diseret. Kami tambah hairan. Setahu kami, kami sahaja yang ada disitu dan kami pasti bunyi tu datang dari kafe juga kerana sebelah kafe itu adalah padang dan kedudukan kafe tu tidak terlindung apa-apa bangunan yang boleh diandaikan bunyi tu datang dari tempat lain. Tambahan, bunyi tong gas ditarik tu betul-betul dekat! Macam jaraknya tak sampai 5 meter dari kami.
Beberapa detik kemudian, bunyi tu berhenti. Aku dan kawan-kawan aku tadi cubalah menyiasat dari mana arah bunyi tu datang. Tak lama bunyi tu kembali dan apabila kami amati, ia datang dari dalam kawasan tempat memasak kafe yang dikunci. Kami pun check lah pintu belakang kot-kot ada orang masuk.
Negatif.
Dimangga dari luar. Tengok bayang-bayang ikut celah bawah pintu pun macam takde apa yang bergerak. Last sekali, kami mengintai ikut lubang kunci. Kami nampak hanya ada 2 biji tong gas. Tapi tong gas tu langsung tak bergerak sedangkan bunyi tu masih kedengaran. Jelas dan nyata dari balik pintu. Kawan aku ada juga memanggil-manggil kot-kot ada orang dekat dalam bilik tu, langsung tiada jawapan. Kami semua mulai seriau. Tak lama bunyi tu berhenti sendiri sebelum cikgu kami datang dan terkejut dengan cerita kami. Apalagi, dia pun suruh kami berkemas dan pulang sambil berkata; “Patutlah jaga cakap kadang-kadang malam-malam dengar macam ada orang makan-makan kat kafe ni.”

No comments:
Post a Comment